Tuesday 29 October 2013

Lenanya tersentak dek lagu Najwa Latif yang menjerit-jerit dari speaker telefon bimbit di tepi katil. Lagu yang setia menjadi alarm mengejutkannya saban hari sebelum laugan suci azan bergema memecah hening subuh. Dia menggeliat. Terpisat-pisat sambil jari menenyeh kelopak mata. Badannya terasa sakit-sakit. Oh tuhan, kuatkan iman ku untuk bangun! Di paksanya semua anggota bangun. Dia berdiri.Tegak. Namun, sesaat selepas itu dia menghenyak kembali punggungnya ke atas katil. Hatinya berat untuk bangun! Otaknya ligat mencari akal. Apa alasan yang boleh dia berikan kepada ketuanya di pejabat untuk dia tidak menghadirkan diri ke pejabat hari ini. Demam? Mak sakit? Kucing mati? Waduh waduh..makin sakit badan dia rasakan..akhirnya dia bertekad. Tak boleh ponteng!!! Banyak kerja menunggu untuk dibereskan. Perlahan-lahan dia bangun mengheret kakinya ke bilik mandi. 20 minit kemudian dia keluar terus menuju ke almari pakaian dan menyarung kurung moden berbunga kecil. Dia telah siap berwudhu. Telekung yang tersangkut dicapai lantas dia menunaikan kewajipannya kepada Maha Pencipta. Usai solat dia turun ke tingkat bawah meneguk segelas air kosong. Nyaman terasa tekaknya apabila air dingin itu melalui kerongkongnya. Sekaligus badannya terasa diaktifkan semula.

To be continued..

Wednesday 13 March 2013


"kadang2 tercipta dosa dalam tawa
kadang2 terdetik luka dalam gurau
terlintas keangkuhan dalam cerita
maka
bukan mawar bila tak berduri...
bukan gading bila tak retak
bukan hati bila tak kecewa
dan bukan manusia jika tak salah
oleh itu
jangan jadi kawan makan kawan
jangan jadi duri dalam daging
sekali terluka selamanya terasa.."
 
Kata-kata ini aku pinjam dari status seorang teman di FB. Ia amat bertepatan dengan emosi aku sepetang hari ini. Hinggakan menitis air mata.. tanpa sedar tersedu sedan menahan tangis yang menggila..
Ya allah, hanya kepada mu aku memohon. Berilah aku kekuatan dan kebijaksanaan dalam menempuh segala ujian mu Allah. Engkau maha mengetahui apa yang tidak kami ketahui..

Sunday 25 March 2012

Kasih ibu dan ayah sepanjang hayat

Melihat ke dalam anak mata mu, terbayang segaris duka yang dalam. Tergambar kesunyian yang tak bertepi. Namun, apakan daya diri ku ini. Tidak berdaya menutup duka dan tidak mampu untuk menghapus kesunyian itu. Sedangkan ketika kecil, aku ditatang bagai puteri, diteman sepanjang malam tidurku, malah dirawat segala duka ku. Mak!!! Ayah!!! Raungan dan rintihan hanya bergema dan bergaung di relung hati ini. Tidak kan dapat kau mendengarnya. Maafkan aku, maafkan kelemahan ku, maafkan kedaifan ku sebagai anak yang tak dapat menuang masa dalam cangkir usia senja mu. Dikejauhan ini aku doakan dirimu sentiasa di dalam jagaan, peliharaan dan kasih sayang yang Maha Esa. Moga kita diberi kesempatan berjumpa lagi.....

Monday 12 December 2011

MILIA SAYANG...

Bismillahhirrahmannirrahim...

             1 Disember 2011 merupakan tarikh yang pasti akan aku kenang sepanjang hayat. Tepat jam 6.30 pagi aku telah mengejutkan Milia dari lenanya. Debaran yang melanda hati ku cuba ku sembunyikan sebaik mungkin agar tidak dapat dihidu oleh Milia. Aku pasti dia juga merasakan debaran yang sama. Tanpa banyak kerenah Milia bangkit dari katil dan menuju ke bilik air. Aku membontotinya sambil menjinjit tuala mandi. Untuk kesekian kali aku memandikannya. Dalam hati kecil ini berdetak rasa sayu. Milia, kuatkan semangat mu ya sayang. Moga Allah mempermudahkan segalanya untuk mu.

               Sejurus selesai mandi aku lapkan badannya dan membantunya menyarungkan pakaian khas. Pakaian yang disediakan oleh pihak hospital. Aku sisirkan rambutnya. Setelah selesai dia lantas mencapai remote tv dan berbaring semula dikatilnya sambil menunggu kehadiran doktor. Tiada sarapan untuk Milia, kerana dia perlu berpuasa untuk menjalani pembedahan jam 7.30 pagi nanti. Malah dia telah berpuasa sejak jam 1.00 pagi tadi. Aku pun tidak bersarapan. Terasa sebu perut. Tiada apa yang ingin ditelan saat-saat sebegini.

            Tepat jam 7.10 pagi, jururawat membantu kami bersiap untuk ke bilik pembedahan. Debaran semakin kencang. Ya Allah permudahkan segalanya untuk anak kesayanganku ini. Jauh disudut hati aku benar-benar berharap. Segalanya berkemungkinan. Prosedur bius yang aku baca agak menganggu perasaan. Bagaimana kalau ada alahan? Bagaimana kalau terjadi komplikasi? Ya Allah hanya kepada mu aku berserah.

          Alhamdulillah, kini setelah 12 hari berlalu, Milia semakin sihat. Tidak terbongkok-bongkok lagi ketika berjalan malah telah menjamu selera dengan nasi ayam kegemarannya di Seksyen 11 ketika makan malam tadi. Kesyukuran yang tidak terhingga aku panjatkan kepada mu Ya Allah. Sesungguhnya engkau maha berkuasa ke atas sesuatu dan aku yakin segala yang baik yang berlaku adalah kerana izin mu Ya Allah.

Tuesday 6 December 2011

STATUS HIDUP...

Terlalu banyak episod dalam kisah yang ditakdirkan
terlalu dalam sebuah pengertian yang dirasakan
dalam kesingkatan kehidupan yang dipinjamkan...

Terlalu banyak yang ingin diluahkan
rasa menggunung perasaan
rasa memberat dada
rasa lemas di lautan tidak bertepian...

mencoret semua yang terpendam
mendedah kata hati dan perasaan
menyebar rasa suka, duka dan hiba
di akhirnya, bertanya kepada diri sendiri...
apakah signifikan status hidup ini kepada dia, dia, dia, dia dan dia?

tiada kepentingan, tidak bergantungan sama sekali
memungkinkan akhirnya
penampakkan dalaman diri yang kosong
menjelaskan kekalutan jiwa
mengesahkan kematian rasa
menipiskan rasa segan dan malu

biarlah episod dalam kisah
teruntai-untai hanya di lingkaran taman hati
agar tidak menjadi antara dedahan yang menggamit dosa
yang kelak menjauhkan jejak ke syurga....

Nukilan: Skyzips ...

Thursday 17 November 2011

Takaful

Takaful merupakan satu konsep di bawah sistem muamalat. Malaysia merupakan antara negara yang mempolopori konsep ini iaitu seawal tahun 1980an. Takaful dilihat sebagai satu keperluan pada ketika itu kerana negara ingin menyediakan satu sistem yang menepati syariah Islam. Keperluan ini adalah berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh ulama pada ketika itu yang menyatakan bahawa konsep, aqad dan operasi insurans adalah tidak menepati lunas-lunas syariah.

Fatwa Pengharaman Insuran
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)    
     

Keputusan Fatwa Muzakarah Jaw. Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kategori : Ekonomi Tajuk : Insurans
   
     
Keputusan 1
Insurans am iaitu lain daripada insurans nyawa adalah harus. Oleh : Persidangan Ulama Malaysia kali ke 16 Tarikh Keputusan : 1 Oktober 1970 Tarikh Muzakarah : 1 Oktober 1970 hingga 2 Oktober 1970.
   

Keputusan 2
Insuran nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu;
a. Mengandungi gharar (ketidak-tentuan)
b. Mengandungi unsur judi.
c. Mengandungi muamalah riba.

Oleh : Persidangan ke 16

Tarikh : 15 Feb 1979
Tarikh Muzakarah : 15 Feb 1979 hingga 16 Feb 1979. 


Sumber :
JAKIM

 Justeru itu, wahai sekalian muslim, adalah suatu yang wajib bagi kita meninggalkan yang haram dan mengambil yang halal sementelah kita telah mempunyai ilmu dan pilihan.