Monday 12 December 2011

MILIA SAYANG...

Bismillahhirrahmannirrahim...

             1 Disember 2011 merupakan tarikh yang pasti akan aku kenang sepanjang hayat. Tepat jam 6.30 pagi aku telah mengejutkan Milia dari lenanya. Debaran yang melanda hati ku cuba ku sembunyikan sebaik mungkin agar tidak dapat dihidu oleh Milia. Aku pasti dia juga merasakan debaran yang sama. Tanpa banyak kerenah Milia bangkit dari katil dan menuju ke bilik air. Aku membontotinya sambil menjinjit tuala mandi. Untuk kesekian kali aku memandikannya. Dalam hati kecil ini berdetak rasa sayu. Milia, kuatkan semangat mu ya sayang. Moga Allah mempermudahkan segalanya untuk mu.

               Sejurus selesai mandi aku lapkan badannya dan membantunya menyarungkan pakaian khas. Pakaian yang disediakan oleh pihak hospital. Aku sisirkan rambutnya. Setelah selesai dia lantas mencapai remote tv dan berbaring semula dikatilnya sambil menunggu kehadiran doktor. Tiada sarapan untuk Milia, kerana dia perlu berpuasa untuk menjalani pembedahan jam 7.30 pagi nanti. Malah dia telah berpuasa sejak jam 1.00 pagi tadi. Aku pun tidak bersarapan. Terasa sebu perut. Tiada apa yang ingin ditelan saat-saat sebegini.

            Tepat jam 7.10 pagi, jururawat membantu kami bersiap untuk ke bilik pembedahan. Debaran semakin kencang. Ya Allah permudahkan segalanya untuk anak kesayanganku ini. Jauh disudut hati aku benar-benar berharap. Segalanya berkemungkinan. Prosedur bius yang aku baca agak menganggu perasaan. Bagaimana kalau ada alahan? Bagaimana kalau terjadi komplikasi? Ya Allah hanya kepada mu aku berserah.

          Alhamdulillah, kini setelah 12 hari berlalu, Milia semakin sihat. Tidak terbongkok-bongkok lagi ketika berjalan malah telah menjamu selera dengan nasi ayam kegemarannya di Seksyen 11 ketika makan malam tadi. Kesyukuran yang tidak terhingga aku panjatkan kepada mu Ya Allah. Sesungguhnya engkau maha berkuasa ke atas sesuatu dan aku yakin segala yang baik yang berlaku adalah kerana izin mu Ya Allah.

No comments:

Post a Comment